Nov 26, 2022 - FASPerlawanan Akhir TM Piala Malaysia malam ini bakal menyaksikan pasukan Selangor FC menentang Johor Darul Ta’zim FC di Stadium Nasional Bukit Jalil jam 9 malam.
Selangor FC berjaya mara ke Perlawanan Akhir TM Piala Malaysia 2022 setelah berjaya meraih keputusan 3-2 secara agregat. Baca lebih lanjut reviu perlawanan di sini.
Menurut Ketua Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe, beliau menganggap malam ini sebagai satu penghormatan untuk bersama pasukan Selangor FC di pentas Akhir TM Piala Malaysia musim ini.
“Saya berharap pasukan berikan fokus sepenuhnya dan berikan persembahan yang terbaik malam ini. Saya yakin dengan pasukan Gergasi Merah!" tegas Tan Cheng Hoe.
Dari segi keberadaan pemain untuk perlawanan Piala Malaysia hari ini, pasukan Selangor FC masih belum dapat menurunkan Safuwan Baharudin yang masih dalam proses pemulihan akibat daripada kecederaan ‘mild traumatic brain injury’, manakala Halim Saari masih lagi dalam proses pemulihan penuh daripada kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL).
Selain itu, Zahril Zabri juga tidak dapat bersama pasukan kerana mengalami kecederaan Meniscus. Yazan Al-Arab juga tidak dapat bersama di pentas Akhir ini atas faktor kad merah yang dilayangkan dalam perlawanan Separuh Akhir yang lalu.
Selangor FC mendoakan pasukan diberikan kekuatan serta keyakinan yang tinggi bagi menghadapi perlawanan malam ini. Semoga kejayaan milik pasukan Gergasi Merah!
Demi Kebanggaan!